ASSASSIN: LAGENDA ORGANISASI SULIT YANG DITAKUTI BANI SELJUK

“Aku pernah berdepan dengan ribuan lelaki. Kesemuanya lebih handal berbandingmu, dan kesemuanya mati – ditanganku!” – Al Mualim.

Semestinya apabila berbicara tentang assassin, tentu ramai yang akan berfikir tentang Altair ibn La-Ahad, Enzo Auditore da Firenze dan Desmond Miles. Tetapi ramai yang tidak tahu akan organisasi rahsia “Hashashin” yang memang pernah wujud dalam sejarah masyarakat Syria dan Parsi pada penghujung abad ke-11.

Gerakan ini dimulakan oleh pemimpin Negara Nizari Ismailiyah (1090-1256) iaitu Hassan-i-Sabbah, yang mempunyai kesatuan kerajaan yang lebih efektif berbanding Khilafah Fatimiyyah dan Empayar Seljuk. Dan ibu pejabat mereka diletakkan di istana Alamut – dimana kaum wanita tidak dibenarkan masuk atas keselamatan dan rahsia.

Ahli-ahli mereka yang dilatih dalam pertempuran, teknik menyamar dan berkuda mempunyai kepakaran dari segi bahasa, strategi dan ‘seni peperangan’. Didorongi barisan Ismaili, jentera-jentera mereka beroperasi secara rahsia dalam usaha menghapuskan pesaing-pesaing politik dan agama.

Selalunya sasaran mereka akan dibunuh di tempat terbuka dan pada waktu tengahari dengan pisau belati yang kadangkala disaluti racun, agar elemen ketakutan dalam kalangan musuh mereka dapat dicetuskan.

Uniknya, sebelum operasi sulit mereka dimulakan, agen-agen Hashashin akan mengasimilasikan diri mereka dengan kebudayaan bandar atau kawasan sasaran mereka. Pada masa yang sama, mereka akan mencari tempat-tempat tertentu untuk menjayakan misi-misi mereka. Dan bukan semua sasaran mereka dibunuh – kadangkala ancaman juga akan dibuat; itupun secara rahsia, melalui nota ancaman yang diselit bawah bantal sasaran.

Perkara ini jelas semasa pemerintahan Sultan Ahmad Sanjar bermula. Baginda menolak wakil-wakil Hasashin yang datang untuk rundingan keamanan, dan keesokan harinya, baginda menemui sebilah pisau belati dicucuk ditepi katilnya. Kemudian datang pula suruhan Hassan-i-Sabbah yang mengugut secara sopan, bertanya jika pisau belati itu dicucuk di dada lembut Sultan Ahmad Sanjar.

Teknik diplomasi ini berjaya kerana terbentuknya sejenis gencatan senjata antara Seljuk dan Nizari sepanjang pemerintahan Ahmad Sanjar. Ahmad Sanjar siap mengurniakan kebebasan kepada Hasashin dari segi cukai, lesen, geran dan kebenaran untuk mengutip bayaran daripada pengembara.

Sepanjang operasi Hasashin, orang awam tidak akan diapa-apakan, kerana objektif-objektif mereka lebih kepada pengekangan kepada penindasan golongan Ismaili. Dan jikalau mereka secara semberono membunuh orang-orang awam, tentunya pekung mereka mudah dibuka.

Kesatuan dalam operasi mereka memang ditakuti ramai, termasuk Sultan Salah ad-Din yang membuat perikatan dengan Ismaili agar dapat mengelakkan usaha-usaha pembunuhan. Tentunya Salah ad-Din tahu akan kisah Nizam al-Mulk, selaku wazir Seljuk yang dibunuh agen Hasashin semasa dalam perjalanan dari Isfahan ke Baghdad. Sehingga hari ini, pembunuh itu tidak diketahui.

Dan menerusi keefektifan yang diterapkan sistem Hasashin, mereka berjaya menguasai istana-istana di Banjaran Nusayriyah seperti Masyaf, Rusafa, al-Kahf, al-Qadmus, Khawabi, Sarmin dan banyak lagi, sehinggalah dibebaskan Sultan Mamluk.

Kejayaan mereka dalam penentangan Seljuk tidak membuahkan hasil apabila mereka berdepan dengan Angkatan Kencana Mongolia.

Pemimpin Hashashin pada waktu ini, Alaudin, menghantar ratusan pembunuh untuk menamatkan riwayat Mongke Khan, membuatkan penguasa hebat Mongolia itu mengarahkan keluarga Jochi dan Chagatai agar sertai gerakan Hulagu menuju ke Iran, sekaligus menguatkan tentera ini dengan seribu jurutera-jurutera peperangan Cina.

Di sini keefektifan Hashashin tidak mampu menandingi keefektifan Mongolia. Mereka dihancurkan pada penghujung 1256, dimana pengganti Hassan-i-Sabbah – Rukun ad-Din berhijrah ke Karakorum untuk bertemu Khan Mongke tetapi dihalau begitu sahaja.

Baginda dibunuh semasa dalam perjalanan pulang ke tanahairnya, yang sudahpun ditawan Mongolia selepas kejatuhan Istana Alamut, tetapi Hasashin berjaya merampas kembali istana ini hanya selama beberapa bulan sahaja – sebelum dihancurkan sekali lagi, meletakkan titik nokhtah terakhir buat pengaruh politik mereka.

Betapa hebatnya Angkatan Kencana Mongolia yang berperang menerusi kesatuan, strategi, dan modernisasi, sehingga barisan yang beroperasi secara sulit berjaya dipatahkan begitu sahaja.

-- AFDS --

Sumber: FB The Patriots

Comments

Popular posts from this blog

Apakah erti Hadas Kecil dan hadas besar?

Syak dalam solat