ADAB DAN SUNNAH DI AIDIL FITRI

ADAB DAN SUNNAH DI AIDIL FITRI

Ramadhan sudah melabuhkan tirai. Semoga amal ramadhan kita diterima oleh Allah SWT.  Mari kita sama memanjatkan rasa syukur kepada Allah SWT . Moga kita  dikurniakan darjat ketaqwaan seperti yang disebut di dalam Al Quran لعلكم تتقون . Bersempena hari raya yang makin tiba ini saya kemukakan beberapa adab-adab dan perkara sunnah ketika di aidilfitri. Moga ia dapat memandu kita semua menjadi umat islam yang sentiasa diberkati bersungguh untuk melakukan amalan-amalan sunat ketika dihari raya aidil fitri.

1.Menjadikan malam raya untuk melipat gandakan ibadah
Hadis Nabi SAW:
من أحيا ليلتي العيد، لم يمت قلبه. يوم تموت القلوب
"Siapa yang menghidupkan malam dua hariraya, maka hatinya tidak mati seperti mana matinya semua hati" (Ad-Daruqutni)
Maksud "mati hati "dalam hadis ialah keghairahan dan cinta pada dunia yang telah meresap di dalam hati. Beberapa pendapat lain dikalangan para ulamak ialah mati hati itu ialah mati dalam keadaan suul khotimah (baca: mati yang buruk)
Kemudian usahakan pada malam tersebut untuk melakukan solat tasbih 4 rakaat dengan dua salam kerana inilah solat yang diajar oleh nabi kepada Saidina Abbas bin Abdul Mutalib. Pahalanya terlalu banyak kerana setiap rakaat kita akan baca 75 kali tasbih. Malah Sheikh Qolyubi di dalam kitabnya mengatakan amalan utama pada malam tersebut ialah dengan menunaikan solat sunat tasbih. Sekiranya tidak mampu untuk menghidupkan dengan amalan sunnah yang lain maka solat maghrib dan asar berjemaah sudah memadai.
Seterusnya perbanyakkan selawat dan baca Al Quran Al Karim. Berikut merupakan bacaan di malam raya dan diniatkan pahalanya kepada kedua orang tua yang telah meninggal dunia.
• Baca 400 kali
لا اله الا الله وحده لا شريك له ،له الملك وله الحمد ،يحيي ويميت ، وهو حي لا يموت ، بيده الخير ، وهو على كل شيء قدير.
• Baca 300 kali سبحان الله العظيم وبحمده
• baca 70 kali
رب اغفرلي ولوالدي وارحمهما كما ربياني صغيرا
2.Mengucapkan ucapan tahniah dan bersalam salaman.
Disebut dalam sebuah hadis riwayat baihaqi :
قال واثلة لقيت رسول الله يوم عيد فقلت تقبل الله منا ومنك قال نعم تقبل الله منا ومنك
Ertinya : Berkata Wasilah, Aku bertemu Rasulullah s.a.w pada hari raya dan aku katakan pada baginda “taqabballahu minna wa minka”, baginda menjawab : Ya, taqabbalallahu minna wa minka”

3. Disunnahkan melalui jalan yang berbeza ketika pergi masjid dan pulang ke masjid. Adalah lebih utama jika jarak perjalanannya lebih panjang semasa pulang daripada masjid.
١. رأيت رسول الله صلى الله عليه وسلم
Aku telah melihat rasulullah saw
٢. ياتي العيد ماشيا
Datang untuk solat dalam keadaan berjalan kaki
٣. يرجع في طريق
Beliau datang daripada satu jalan
٤.ويأخذ في آخر
Dan mengambilnya (pulang) pada waktu yang lain
Antara hikmah yang disebut oleh ulamak bagi orang yang melalui jalan yang berbeza ialah, dapat mengeratkan silaturrahim di kalangan umat islam. Juga jalan itu akan menjadi saksi kita di hadapan Allah SWT kerana untuk menunaikan ibadah.

4.Makan dahulu sebelum solat sunat aidil fitri
كان رسول الله لا يغدو يوم الفطر حتى ياكل
Rasulullah tidak berangkat solat sunat aidil fitr kecuali beliau makan terlebih dahulu
ولا ياكل يوم الاضحى حتى يرجع
Dan tidak makan pada pada hari raya aidil adha kecuali jika sudah pulang (selesai solat aidil adha)
Afdhol makan tamar dalam bilangan yang ganjil atau 7 biji tamar.

5. Mandi dan mengenakan pakaian baru  dan yang wangi
Waktu mandi pandangan dalam mazhab syafie ialah bermula pertengahan malam 1 syawal. Juga pendapat bermula subuh syawal dan adalah lebih afdhal mandi sebelum pergi menunaikan solat sunat hari raya aidil fitri.
Berkata Imam Syafii:
واحب ان يلبس الرجل احسن ما يجد الأعياد الجمعة،والعيدين ومحاففل الناس ويتنظف ويتطيب
“Aku lebih menyukai seseorang memakai pakaian terbaik yang dimilikinya pada hari-hari raya, iaitu pada hari Jumaat, dua hari raya (Aidiladha dan Aidilfitri) dan tempat diadakan majlis (seperti majlis perkahwinan). Dia hendaklah memakai baju yang bersih dan memakai wangi-wangian.”
Adalah disunatkan juga pada wanita yang uzur untuk mandi sunat dan memperhiaskan diri dengan pakaian baru serta ke tempat mendirikan solat aidil fitri(luar masjid) untuk menyaksikan perkara-perkara yang baik dan mendengar khutbah yang disampaikan.

6. Disunatkan bertakbir. Takbir terbahagi kepada dua iaitu takbir mursal(mutlak) dan takbir muqayyad. Takbir di hari raya aidil fitri hanya di anjurkan takbir mursal. Takbir mursal ialah takbir  yang dilaungkan bila-bila masa sahaja yang tidak terikat dengan solat. Adalah disunatkan untuk di tinggikan suaranya.
Waktu takbir untuk hari raya aidil fitri ialah bermulanya maghrib 1 syawal sehingga imam selesaikan takbirnya pada solat hari raya aidil fitri.
Lafaz takbirnya :
الله أكبر الله أكبر الله أكبر لا إله إلا الله الله أكبر الله أكبر ولله الحمد

7. Solat Hari Raya Eidul Fitri.
Disunatkan melaksanakan solat sunat hari raya seperti mana hadis rasulullulah SAW
وان يخرجوا لعيدهم من الغد
Dan keluar (berkumpul) untuk melaksanakan solat sunat aidil fitri pada keesokan harinya (Riwayat Baihaqi)
Solat sunat yang paling Afdhal dilakukan secara berjemaah mengikut tertib
1.    Solat Hari Raya Aidil Adha
2.    Solat Hari Raya Aidil Fitri
3.    Solat Gerhana Matahari
4.    Solat Gerhana Bulan
5.     Solat Istisqo’ (Mohon Hujan)
6.     Solat Witir : Hanya disunatkan berjemaah pada bulan ramadhan sahaja
7.     Solat Qiam (Tarawih)

Solat hari raya sekurang-kurangnya mestilah dilakukan seperti aolatvsunat wudhuk namun adalah lebih swmourna jika dikerjakan dengan selangan takbir. Ia disunatkan bertakbir 7 kali pada rakaat pertama dan 5 kali pada rakaat yang kedua. Takbir ini termasuk dalam sunat hai'ah . Sekiranya terlupa untuk dilaksanakan maka tidak disunatkan untuk sujud sahwi.
Selepas bertakbir tujuh kali dan lima kali baharu lah membaca at-ta‘awwuz  dan surah al-Fatihah. Kemudian diikuti dengan membaca surah-surah al-Quran. Pada rakaat pertama sunat membaca surah Qaf atau surah al-A‘ala dan rakaat kedua surah al-Qamar atau surah al-Ghasyiyah.

8. Puasa 6 hari dibulan syawal
من صام رمضان ثم اتبعه ستا من شوال، كان كصيام الدهر
Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal, maka ia bagaikan puasa sepanjang masa (tahun)
Menurut  sebahagian pendapat ulamak yang mengatakan setiap hari pada puasa bulan ramadhan pahalanya seperti puasa 10 hari, kalau 30 hari bererti 300 hari berpuasa dan dicampur dengan 6 hari di bulan syawal iaitu pahala seperti 60 hari berpuasa. 300+60 : 360 hari (setahun)
Permasalahan : adakah boleh berpuasa qadha digabungkan bersama puasa 6 hari di bulan syawal?
Menurut Sheikh Atiyyah Saqr didalam kitab Fatawa Azhari yang menukilkan pendapat Sheikh Zakaria Al Ansori mengatakan boleh. Malah sekiranya berpuasa 6 hari qadha tanpa berniat puasa syawal, akan tetap mendapat pahala puasa 6 hari di bulan syawal. Namun adalah lebih afdhal dipisahkan antara puasa qadha dengan puasa 6 hari di bulan syawal.

PENUTUP
Umat Islam amatlah dituntut menghayati erti kemenangan yang sebenar dengan menjadikan syawal sebagai satu titik perubahan dalam kehidupan dan medan penambahan amal selepas sebulan berjaya ditarbiyyah di bawah madrasah ramadhan. Sama-samalah kita jadikan syawal pada kali ini untuk kita sama bertoleransi dan bermaafan sesama sendiri seperti mana yang dikatakan oleh rasulullah:

ما من مسلمين يلتقيان فيتصافحان إلا غفر لهما قبل أن يفترقا
Tidaklah dua orang muslim yang bertemu lalu saling bersalam-salaman melainkan diampunkan kedua-duanya sebelum berpisah.
Kata Ibn Rajab dalam kitab Lathoiful Maarif  dan Imam Khatib  Syarbini dalam kitabnya hasyiah bujairimi:
ليس العيد لمن لبس الجديد انما العيد لمن طاعته تزيد
"Sesunguhnya bukanlah hari raya itu untuk orang yang pakai baju baru, akan tetapi hari raya itu hanya untuk seseorang yang bertembah ketaatanya"
Renungkan dan selamat beramal.

Selamat Hari Raya Maaf Zahir dan Batin daripada saya Muhammad Imran bin Mohamed Radzi. Semoga amal kita dibulan ramadhan diterima oleh Allah.
احياكم الله لأمثاله

Penyusun dan editor
Al Faqir  Imran Radzi Algeriki

Comments

Popular posts from this blog

Kitab Zahrah Al Murid Fi Bayan Kalimah At Tauhid